Program Latihan Pengakap Laut Malaysia |
Oleh: Mohd Hilmi Abu Bakar
Pengakap
Laut adalah salah satu daripada cabang Pergerakan Pengakap sejak era
awal penubuhannya. Pengasas Pergerakan Pengakap iaitu Lord Baden-Powell
lahir dalam sebuah keluarga yang kaya dengan tradisi kelautan. Datuk di
sebelah ibunya iaitu Laksamana William Henry Smyth adalah panglima
tentera laut semasa Perang Nepoleon dan merupakan seorang ahli
hidrografi dan astronomi yang masyhur. Abang beliau, Warington Baden
Powell pula adalah seorang pelaut komersil dan pengasas pelayaran keno.
Warington kemudiannya telah diamanahkan oleh Lord Baden-Powell untuk
mengasaskan Pengakap Laut.
Perkhemahan
percubaan pertama di Pulau Brownsea pada 1907 menunjukkan bahawa elemen
kelautan adalah amat dipentingkan dalam Pengakap. Lencana “Seaman”
telah dijadikan sebagai salah satu daripada lima lencana terawal yang
diperkenalkan oleh Pergerakan Pengakap. Lanjutan daripada itu, Warington
Baden Powell telah menggariskan konsep Pengakap Laut di dalam sebuah
Kursus Pemimpin Pengakap di London pada Januari 1911. Sejak detik
tersebut, Pengakap Laut telah berkembang ke seluruh dunia terutamanya di
negara-negara yang mempunyai perairan termasuklah di Malaya dan Borneo.
Sejarah
negara merekodkan bahawa Pengakap Laut telah bertapak sejak sekian lama
di negara ini terutamanya selepas Perang Dunia Kedua dan terbabit
secara aktif dalam sambutan pengisytiharan kemerdekaan negara pada 31
Ogos 1957. Malaysia mempunyai banyak kelebihan untuk penganjuran
aktiviti Pengakap Laut kerana negara ini dikelilingi laut, mempunyai
banyak sungai dan tasik serta dilengkapi dengan pelbagai kemudahan
maritim yang membolehkan pelbagai aktiviti dan latihan kelautan yang
menyeronokkan dianjurkan dari semasa ke semasa.
Pengakap
Laut di Malaysia dibahagikan kepada tiga unit iaitu Pengakap Muda Laut
(bagi pelajar menengah rendah), Pengakap Remaja Laut (bagi pelajar
menengah atas) dan Pengakap Kelana Laut (bagi ahli dewasa dan lepasan
sekolah menengah). Tiada unit Pengakap Laut ditubuhkan bagi Pengakap
Kanak-kanak. Aktiviti-aktiviti Pengakap Laut dijalankan mengikut skim
latihan yang telah ditetapkan oleh Ibu Pejabat Persekutuan Pengakap
Malaysia. Kita amat bertuah kerana Skim Latihan Pengakap Laut yang baru
telah dilancarkan pada 23 Januari 2011 dan menjanjikan pelbagai aktiviti
yang menarik untuk ahli-ahli Pengakap Laut.
|
No comments:
Post a Comment